Bateri AGM Vs EFB : Yang Mana Lebih Sesuai?

Bateri AGM vs EFB : Yang Mana Lebih Sesuai?

Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih dan komponen elektonik yang menggunakan tenaga lebih banyak berbanding kereta 20-30 tahun yang lalu. Teknologi-teknologi baru ini menyebabkan bateri kereta turut perlu dinaiktaraf bagi memastikan segala teknologi canggih ini berfungsi dengan baik.

Kereta Dengan Fungsi Idle Start Stop

Salah satu teknologi popular yang memerlukan penggunaan bateri khas adalah fungsi ‘idle start-stop’. Fungsi ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar, dalam masa yang sama mengurangkan pegeluaran karbon daripada kereta bagi menjaga alam sekitar. Jadi bagaimana ia berfungsi?

Fungsi ‘idle start-stop’ akan mematikan enjin kereta anda apabila kereta berada dalam keadaan statik (contoh : berhenti di lampu trafik). Dan apabila brek kereta dilepaskan untuk sambung perjalanan, enjin kereta akan dihidupkan semula secara automatik.

Butang idle start stop

Namun, jangan pula anda keliru dengan fungsi hidupkan enjin dengan butang ‘push-start’. Tak sama tau.

Disebabkan fungsi ini, kereta anda menghidupkan kereta pada kadar yang lebih banyak berbanding kereta biasa (3-5 kali ganda). Oleh itu, bateri kereta yang kereta anda perlukan juga adalah bateri berteknologi tinggi.

Bateri Berteknologi Tinggi EFB/AGM

Terdapat 2 jenis bateri berteknologi tinggi yang dicipta khas untuk kereta dengan fungsi Idle Start Stop :

  1. ‘Enhanced Flooded Battery’ (EFB)
  2. ‘Absorbent Glass Mat’ (AGM).

Jadi persoalan seterusnya, apa beza antara bateri EFB dan bateri AGM?

Bateri Kereta EFB (Enhanced Flooded Battery)

Bateri EFB ini adalah bateri kereta biasa yang telah dinaiktaraf. Ianya direka khas bagi menaiktaraf penerimaan pengecasan serta kitaran ketahanan yang lebih tinggi ketika berada pada kadar pengecasan yang kurang berbanding bateri kereta yang biasa.

Dianggarkan, bateri EFB mampu menghidupkan enjin kereta sebanyak 270,000 kali berbanding 30,000 kali untuk bateri kereta biasa.

READ  Lampu, Alarm, Radio Hidup Tapi Kereta Tak Boleh Start?

Daripada sudut penghasilan, bateri EFB adalah sama seperti bateri biasa, menggunakan elektrolit (air bateri) dan asid yang sama. Perbezaannya? Plate bateri EFB disertakan dengan karbon sebagai bahan tambahan (additive).

Bateri jenis EFB seringkali digunapakai oleh kenderaan jenis ‘entry’ oleh syarikat pengeluar kenderaan.

EFB-Battery
Kredit : Varta Automotive

Bateri Kereta AGM (Absorbent Glass Mat)

Berbeza dengan bateri biasa dan bateri EFB, bateri AGM menggunakan teknologi yang berbeza. ‘Glass Fibre Mat’ digunakan sebagai pengantara elektrolit. Dengan bateri AGM, anda tidak akan mengalami sebarang masalah seperti asid tumpah oleh kerana elektrolit ini tadi disimpan oleh Glass Mat. Sepertimana sehelai kain tuala lembab yang menyerap air, sebegitulah teknologi Glass Mat di dalam bateri AGM.

Selain itu, berbanding bateri biasa/EFB yang melepaskan gas keluar daripada bateri (menyebabkan elektrolit berkurangan), bateri AGM mempunyai teknologi yang membolehkan gas ini tadi ditukarkan semula kepada cecair elektrolit sekaligus disedut semula kedalam Glass Mat. Ini membuatkan bateri AGM ini 100% maintenance free.

Tiada tumpahan asid, tiada pengurangan elektrolit, tiada hakisan berlaku.

Ini menyebabkan bateri AGM ini mampu bertahan sehingga 5-7 tahun. (Ada pelanggan kami yang ganti bateri AGM berusia 7 tahun!)

Bateri AGM ini lebih terkenal dengan kenderaan-kenderaan mewah (oleh kerana harganya juga mewah!). Digunakan untuk kereta dengan fungsi ‘Idle Start-Stop’ dan ‘Regenerative Braking’.

*sesetengah model kereta, apabila bateri AGM diganti, pendaftaran bateri perlu dilakukan melalui komputer

AGM-Battery
Kredit : Varta Automotive

Jadi Saya Patut Beli Bateri AGM atau EFB ?

Sekiranya kereta anda menggunakan bateri EFB, anda boleh gantikan dengan bateri EFB atau naik taraf ke bateri AGM.

Namun sekiranya kereta anda menggunakan bateri AGM, anda harus gantikan dengan bateri AGM sahaja.

READ  Jenama Bateri Kereta Terbaik 2022

Sekiranya anda turunkan taraf bateri (AGM > EFB), ada kemungkinan sesetengah komponen elektronik anda tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Malah pihak pusat servis juga berpotensi untuk mempersoalkan isu ini lebih-lebih lagi sekiraya terdapat sebarang urusan tuntutan waranti untuk komponen berkaitan.

sumber rujukan :
https://www.yuasa.co.uk/info/technical/agm-efb-explained/
https://batteryworld.varta-automotive.com/en-gb/car-battery-start-stop

1800-1800-10 Scroll to Top