Kereta EV : Beza HEV, PHEV & BEV

Kereta EV : Beza HEV, PHEV & BEV

Baru-baru ini, Malaysia telah memperkenalkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon yang turut merangkumi Pelan Adaptasi Kereta Elektrik di Malaysia menjelang tahun 2030. Dengan tawaran pengecualian cukai import dan eksais duti sehingga 10,000 unit kenderaan, lebih ramai kini melihat kereta EV (Electric Vehicle) sebagai opsyen yang menarik. Besar kemungkinan, anda juga disini atas sebab itu.

Namun sebelum memiliki kereta EV, anda perlu terlebih dahulu faham jenis-jenis kereta EV yang ada di pasaran. Dalam artikel ini, kami akan menerangkan kepada anda perbezaan 3 jenis kereta EV iaitu kereta HEV, PHEV dan BEV.

EV Malaysia Cars : HEV, PHEV, BEV

Apa Itu Kereta HEV?

Kereta HEV (Hybrid Electic Vehicle) diberi nama hibrid, oleh kerana kewujudan bateri hibrid yang dibekalkan sekali bersama kereta. Berbeza dengan kenderaan enjin biasa (ICE), kereta Hibrid dikuasakan oleh enjin pembakaran (petrol/diesel) dan motor elektrik (bateri hibrid) untuk bergerak.

Kereta jenis Hibrid ini tidak mempunyai soket untuk tujuan pengecasan semula. Bateri hibrid dicaj semula melalui proses brek regeneratif (regenerative braking). Apabila brek ditekan, tenaga daripada kelajuan kenderaan ditukarkan kepada tenaga untuk pengecasan bateri hibrid.

Atas sebab itu, kuasa enjin biasa masih diperlukan untuk kereta bergerak. Namun, sekiranya anda memiliki kereta hibrid, anda akan dapat merasai penjimatan minyak yang ketara.

Sebagai contoh, seorang pengguna Hyundai Ioniq 1.6 HEV berkongsi keretanya menggunakan minyak 22km/liter. Pada harga RM2/litre untuk RON95, dengan pengisian minyak RM60, anda mampu untuk memandu pergi dan balik KL-Johor dengan hanya 1 isian (660KM).

Lebih kurang 50% penjimatan berbanding kenderaan enjin biasa dengan kapasiti enjin yang sama.

Antara kenderaan Hibrid yang ada di pasaran Malaysia adalah Honda CRZ, Hyundai Ioniq, Toyota Prius C.

Apa Itu Kereta PHEV?

Kereta PHEV (Plug-In Hybrid Vehicle) adalah sama seperti kenderaan hibrid, masih memerlukan bahan api petrol/diesel, tetapi dengan kebolehan untuk pengecasan semula bateri dengan cara plug-in.

Kereta PHEV tidak bergantung sepenuhnya kepada pengecasan melalui brek regeneratif. Dalam erti kata lain, kereta anda boleh menggunakan lebih banyak kuasa motor elektrik berbanding kereta HEV sekaligus anda mampu merasai lebih penjimatan petrol.

Namun di Malaysia, tidak banyak kereta PHEV yang dibawa masuk oleh pengeluar setakat ini. Antara model kereta PHEV yang ada di pasaran adalah BMW X5, 330e, Mercedes C350e, Volvo S90.

Apa Itu Kereta BEV?

Kereta BEV (Battery Electric Vehicle) adalah kereta yang bergantung 100% kepada tenaga bateri, menjadikan kereta BEV mesra alam sekitar. Tiada karbon monoksida terhasil daripada kereta BEV kereta ia tidak mempunyai enjin, hanya menggunakan kuasa motor elektrik.

Bukan sahaja baik untuk alam sekitar, kereta BEV juga mudah dijaga dengan kos penyelenggaraan yang sangat mudah. Kereta BEV juga tidak mempunyai gearbox, ia hanya berfungsi dengan satu gear. Ini bermakna, tiada minyak enjin, minyak gear, dan segala jenis ‘wear & tear’ yang perlu diselenggara. Kita semua tahu, kerosakan enjin dan gear adalah antara kerosakan yang paling menelan belanja tinggi untuk kenderaan enjin.

Dengan teknologi brek regeneretif, brek kereta juga mampu bertahan lebih lama. Brek hanya akan digunakan untuk keadaan tertentu seperti brek mengejut/kecemasan.

kredit : cleantechnica.com

Adakah kos pengecasan kereta lebih jimat berbanding petrol? Ya! Meskipun anda mengecas kenderaan di ‘charging station‘ dengan kadar elektrik komersil, kos yang anda keluarkan masih lebih rendah berbanding petrol/diesel. Menurut kajian Cleantechnica, anda mampu jimat sehingga 73% dengan kereta BEV.

Akan tetapi, harga petrol di Malaysia adalah murah! Kemungkinan besar penjimatan anda bukanlah sehingga 73% seperti kajian yang telah dilakukan di Eropah. Namun, penjimatan terbesar anda adalah pada kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan enjin.

Antara kereta BEV yang ada di Malaysia adalah Tesla Model S, Renault Zoe, Nissan Leaf.

1800-1800-10 Scroll to Top