Blog, Tips Penjagaan Kereta

7 Daripada 10 Masalah Kereta Adalah Sebab Bateri Kereta Mati

Tahukah anda, 7 daripada 10 masalah kereta tidak boleh hidup adalah disebabkan oleh bateri kereta mati? Ya betul, masalah bateri kereta mati membelenggu ramai pemandu di Malaysia! Persoalannya, kenapa masalah ini berlaku?

Di dalam artikel ini, kami akan kongsikan pengisian mengenai bateri kereta, termasuk :

i) Kenapa Bateri Kereta Adalah Punca Utama Kereta Tidak Boleh Hidup
ii) Tips memanjangkan jangka hayat bateri kereta
iii) Tanda-tanda bateri kereta nak mati
iv) Jenis-Jenis Bateri Kereta di Malaysia

Semoga perkongsian kami ini mampu menyelamatkan anda daripada masalah bateri kereta.

1. Kenapa Bateri Kereta Adalah Punca Utama Kereta Tidak Boleh Hidup

Terdapat beberapa punca utama kenapa bateri kereta menjadi masalah utama kereta tidak boleh dihidupkan. Antaranya adalah :

a) Perbezaan Jangka Hayat Bateri Kereta

Setiap jenama bateri kereta memberikan jaminan tempoh waranti yang berbeza. Sebagai contoh, jenama bateri seperti Amaron memberikan jaminan waranti sehingga 18 bulan, Century Roadmaster sehingga 15 bulan manakala jenama-jenama lain hanya untuk 12 bulan. Kualiti bateri daripada jenama yang berbeza-beza menyebabakan jangka hayat bateri itu sendiri berbeza dan tidak tetap.

Hal ini menyukarkan pemilik kenderaan untuk tahu bilakah waktu bateri kereta perlu diganti, melainkan ianya telahpun mati. Untuk melakukan pemeriksaan pula, pemilik kereta perlu menggunakan alatan seperti Multimeter Battery Tester atau Digital Voltage Meter, yang mana tak ramai pengguna ada alat tersebut.

Cara yang paling selamat adalah untuk ganti terus siap-siap, lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal melakukan pemanduan jarak jauh. Nak tunggu sampai bateri mati baru ganti? Save sahaja nombor CARPUT, 1800-1800-10 kami datang bantu.


b) Pemandu Tidak Cakna Usia Bateri Kereta

Secara purata, jangka hayat bateri kereta jenis ‘maintenance free’ adalah sekitar 1.5-2 tahun, bergantung kepada kenderaan dan penggunaan. Namun, cuba tanya pada diri sendiri, bila kali terakhir anda tukar bateri kereta? Kami yakin, 9 daripada 10 pemandu tidak ingat bila kali terakhir mereka ganti bateri kereta. Maka atas sebab itu, tiba-tiba lah masalah kereta tidak boleh dihidupkan oleh kerana masalah bateri terjadi pada mereka.

Meskipun kebiasaannya tarikh pemasangan bateri kereta anda ditulis di atas bateri kereta anda, kaedah yang terbaik adalah untuk catatkan tarikh akhir bateri kereta anda digantikan. Anda boleh lekatkan sekali maklumat ini di cermin hadapan kenderaan, sebagaimana tarikh akhir kenderaan anda diservis.

c) Kecuaian Pemandu

Selain masalah bateri itu sendiri, kadang-kadang masalah bateri kereta juga boleh berlaku akibat kecuaian kita sebagai pemandu. Terlupa matikan lampu kereta atau tutup pintu kereta tidak rapat. Sekiranya anda tersenyum, kemungkinan anda lah salah seorang yang pernah alaminya kan?

2. Tips Memanjangkan Jangka Hayat Bateri Kereta

Bateri kereta bukanlah murah. Maka tidak ramai yang suka sekiranya ianya perlu diganti lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Oleh itu, kami kongsikan beberapa tips untuk anda pastikan jangka hayat bateri kereta anda dikekalkan sepanjang yang mungkin.

a) Kurangkan Pemanduan Jarak Pendek

Pemanduan jarak pendek menyebabkan bateri anda tidak dapat di caj sepenuhnya. Dalam jangka masa panjang, ini boleh memendekkan kapasiti dan jangka hayat bateri kereta. Sebaiknya, sesekali di hujung minggu, lakukan pemanduan jarak sederhana/jauh untuk kembali mengecaj sepenuhnya bateri kereta anda.

b) Lakukan Pemeriksaan Berkala

Lakukan pemeriksaan pada terminal dan kabel sambungan bateri kereta. Pastikan semuanya dalam keadaan baik.

c) Elakkan Penggunaan Alatan Elektronik Semasa Kereta Tidak Bergerak

Sistem elektronik seperti radio, penghawa dingin dan ‘in-car charger‘ bakal mengurangkan jangka hayat bateri kereta sekiranya terus digunakan sewaktu kereta tidak bergerak.


3. Tanda-Tanda Bateri Kereta Dah Nak Mati

a) Kereta Susah Dihidupkan

Tiba-tiba enjin kereta ‘cranking‘ lebih daripada biasa? Itu adalah salah satu tanda awal yang bateri kereta anda mungkin memerlukan penggantian. 

b) Lampu Kereta Lebih Malap

Sekiranya anda biasa memandu di waktu malam, anda mungkin boleh perasan perbezaan kecerahan lampu kereta anda. Sekiranya lebih malap daripada biasa, mungkin juga bateri anda sudah kekurangan kuasa.

4. Jenis-Jenis Bateri Kereta di Malaysia

Sekiranya anda tidak tahu jenis bateri kereta yang ada dijual di pasaran, ketahuilah anda tidak keseorangan. Ramai lagi pemandu di luar sana yang memandu kereta mereka tanpa mengetahui pengetahuan asas bateri kereta seperti ini. Tetapi hari ini, kami akan membantu anda untuk memahaminya!

Di Malaysia, terdapat 4 jenis bateri kereta yang popular :

a) Bateri Basah

Bateri jenis ini adalah bateri yang memerlukan penyelenggaraan yang kerap. Anda perlu memastikan paras air bateri adalah di paras yang betul, iaitu di antara indikator ‘upper level‘ dan ‘lower level‘. Sekiranya air bateri kurang/lebih daripada paras yang sepatutnya, bateri boleh rosak dan mengakibatkan kereta tidak boleh dihidupkan.

Berapa kerap perlu anda lakukan pemeriksaan? Bergantung pada kekerapan penggunaan anda. Lebih kerap anda memandu, lebih kerap lah anda perlu lakukan pemeriksaan paras air bateri anda.

b) Bateri Kering (Maintenance Free)

Bateri kering atau nama sebenarnya, bateri ‘Maintenance Free‘ (MF) adalah sejenis bateri kereta yang tidak memerlukan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan. Ini memberikan anda lebih ruang untuk berfikir mengenai perkara-perkara yang lebih penting.

Dan atas sebab itu, harganya sedikit mahal berbanding bateri basah.

c) Bateri EFB (Enhanced-Flooded Battery)

Sekiranya anda memandu kenderaan yang mempunyai fungsi Start-Stop (kereta mematikan enjin secara automatik apabila tidak bergerak, dan menghidupkan kembali apabila brek dilepaskan) kereta anda memerlukan bateri jenis EFB! Kenapa?

Enjin anda menggunakan bateri lebih kerap berbanding kereta biasa. Bayangkan sahaja setiap kali anda berhenti di lampu isyarat, bateri kereta anda digunakan untuk fungsi ini. Dan dalam satu hari, berapa kerap anda berhenti di lampu isyarat? Bateri jenis EFB telah direka khas untuk fungsi ini. Hari ini, kita boleh lihat lebih banyak kenderaan mempunyai fungsi ini. Kenderaan tempatan seperti Myvi dan Bezza turut dijual dengan pilihan sistem ini.

d) Bateri AGM (Absorbent Glass Mat)

Bateri jenis AGM juga direka khas untuk kereta dengan sistem Start-Stop. Jadi apa bezanya dengan bateri EFB? Ianya adalah bateri premium yang mempunyai teknologi yang tinggi. Bateri AGM kebiasaannya digunakan untuk kereta yang berteknologi tinggi seperti Mercedez, BMW dan kenderaan-kenderaan mewah yang lain.

Menurut pengalaman beberapa pelanggan kami, bateri AGM mampu bertahan antara 3 hingga 5 tahun, bergantung pada penggunaan.

Author


Avatar